Ahad, 16 September 2012

Selamat Berjuang Sahabat-Sahabatku

Assalamualaikum,

Gendang perang PRK bakal bergema lagi. Setelah sekian lama kita ternanti-nanti tarikh sebenar, bermacam-macam spekulasi, tekaan dan tanggapan yang timbul. Ada yang mengatakan kerahsiaan tarikh pilihan raya merupakan satu konspirasi pihak pentadbiran. Sama ada benar atau tidak wallahualam.


Rasa pelik jika ada pihak masih melaung-laungkan mengenai konspirasi tarikh PRK kerana semasa mesyuarat pelan takwim tahunan kolej bulan lepas sebelum pelajar baru masuk, sudah tercatat tarikh prk. Namun, aku sudah terlupa detailnya kerana aku buat endah tak endah je. Kalau tak silap akhir bulan ini.



Jika ditanya pihak mana aku berpihak, biarlah aku mengatakan undiku adalah rahsia. Baik Aspirasi mahupun GM masing-masing ada kelebihan & kekurangannya. Aku hanya meraikan kedua-dua pihak. Selagi mereka membela nasib mahasiswa dengan rasional, aku menyokong mereka.

Prinsipku yang mahu baik dengan semua orang kadang-kala menimbulkan kekeliruan dalam kalangan sahabat-sahabatku. Terus terang aku mengatakan aku punya sahabat dari kedua-dua pihak. Lagipun aku lebih suka meluaskan jaringan persahabatan merentas ideologi politik. Jadi jangan berasa pelik jika aku muncul dalam mana-mana majlis yang dianjurkan baik daripada Aspirasi mahupun GM. Kerana aku hadir sebagai sahabat.

Acapkali juga aku merasa sedih bila sahabat-sahabatku ini berbalah & bermasam muka kerana mempertahankan pendapat masing-masing. Jika isu itu habis di situ juga tidak mengapa, tetapi kerana sesuatu isu kedua pihak terus bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Virus tarik muka itu terus melarat-larat sehingga runtuh silaturahim.

Walaubagaimanapun, aku masih menaruh harapan agar saf persaudaraan dapat ditegakkan semula. Dan untuk merealisasikannya kita perlu keluar daripada kelompok kita dan menyertai serta bergaul dengan kelompok yang lain. Hilangkan segala prejudis dan merai perbezaan pendapat. Mungkin untuk kali pertama kita akan merasa kekok. Namun rasa itu lama-lama akan hilang dan diganti kemesraan. Alangkah indahnya jika dua bendera dapat dipacakkan bersama.



"Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damailah di antara keduanya." (Hadis riwayat Muslim dan Imam Ahmad) 

Aku masih lagi menunggu semoga sahaja pejuang-pejuang mahasiswa ini dapat bersatu dan menyumbang sesuatu kepada UKM dan negara. Aku sentiasa mendoakan perjuangan kalian diberkati dan aku akan berbaiah kepada pihak yang berjaya. Kepada pihak yang kalah, jangan risau mungkin ada hikmah disebaliknya. Baiahku bukan membabi buta. Tetapi atas rasional & pertimbangan. Jika ada yang tersilap aku akan berusaha menegur dengan cara yang baik.

Kalian teruskanlah perjuangan kalian dan aku pula terus berjuang dijalanku juga. Perjuanganku menjadi seorang pejuang dan pengikut yang baik. Sebelum bakal menjadi pemimpin kelak, inshallah. Semoga kita sentiasa istiqamah.


أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلّمَ عَلَّمَهُ أَنْ يَقُولَ هَذَا الدُّعَاءَ
اَللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبَنَا، وَاصْلِحْ ذَاتَ بَيْنَنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلاَمَِ
وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ،وَجَنِّبْنَا الْفَوَا حِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
وَبَارِكْ لَنَا فِى أَسْمَا عِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُلُوبِنَا وَأَزْوَاجِنَا وَزُرِّيَتِنَا
وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
وَاجْعَلْنَا شَاكِرِيْنَ لِنِعْمَتِكَ، مُثْنِيْنَ بِهَا وَقَابِلِيْهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا


Wassalam 


1 ulasan:

Unknown berkata...

berpolitik akan menyebabkan pergaduhan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...