Rabu, 6 Jun 2012

Perpaduan Melayu atau Perpaduan Islam??

Assalamualaikum,




Dewasa ini seringkali kedengaran usaha kerjasama antara UMNO dengan PAS untuk kepentingan Melayu & Islam. Namun, PAS sekali lagi menolak dengan alasan UMNO berbuat begitu kerana takut kerjasama PAS dalam PR. PAS pula dilihat mencanang Perpaduan Islam. Persoalannya mana satu yang betul?


Sebenarnya sama ada Melayu atau Islam, kedua2nya adalah sama. Melayu adalah ISLAM. Oleh itu kepentingan Islam dalam konteks Malaysia juga adalah kepentingan Melayu. Mungkin ada yang tidak setuju dengan pendapat aku. Aku sedia maklum Islam itu agama dan Melayu itu bangsa. Tetapi keduanya saling berkait.


Jika dilihat daripada pengertian Melayu Nusantara, Bangsa Melayu terdiri daripada pelbagai agama & negara. Daripada kepulauan Hawaii, merentas kepulauan Pasifik hingga ke Selatan Afrika. Namun, jika dilihat daripada pengertian Melayu daripada sudut Perlembagaan Persekutuan, Melayu itu ditakrifkan sebagai Islam, bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian serta mengamalkan adat istiadat Melayu.

Berdasarkan pengertian di atas, sudah cukup untuk mengaitkan kepentingan Melayu Malaysia dengan Islam. Ada juga yang mengatakan buat apa Islam dalam IC tapi buat maksiat. Persoalannya sekarang bukan itu. Sejahat-jahat orang Islam pasti akan mengaku dia adalah seorang muslim. Mereka bukan kafir, cuma mereka pendosa. Sekurang-kurangnya di hati mereka masih ada kalimah Tauhid yang mengesakan Allah.

Bagaimana pula dengan Melayu yang murtad? Mudah sahaja, Melayu yang murtad bukan sahaja melucutkan keislamannya malahan bangsanya juga. Dalam erti kata lain, telah terlucut segala keistimewaannya sebagai Melayu jika dia murtad. Begitu besar impaknya, dia bukan sahaja membuang agama malahan bangsanya.


Berbalik pada persoalan mana satu yang perlu diutamakan? Keduanya tiada bezanya di Malaysia. Perpaduan Melayu bermakna perpaduan Islam. Bangsa itu perlu dijadikan alat untuk menegakkan Islam. Memandangkan majoriti muslim di Malaysia adalah  Melayu, maka adalah wajar perpaduan antara Melayu itu diperkukuhkan. Namun, bukan bermakna kita meminggirkan kaum lain.

Timbul pula isu assabiyah. Sebenarnya kita perlu memahami maksud assabiyah itu. Assabiyah itu berlaku jika kita membela kaum atau bangsa kita dalam melakukan kemungkaran. Namun, jika kita mempertahankan hak-hak kaum atau bangsa kita daripada dijajah atau dipertikai maka itu bukan assabiyah. Ini disebut dalam sabda Rasulullah S.A.W. yang mafhumnya:


Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  hartanya maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  darahnya (nyawa) maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  agamanya  maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan  keluarganya maka dia adalah syahid







Kesimpulanya, Melayu & Islam itu tidak dapat dipisahkan. Seharusnya kita sedaya upaya menjaga perpaduan antara kita. Ingatlah kembali sirah nabawiyah di mana Rasulullah menanamkan tauhid di dalam hati orang-orang Arab serta menyatukan mereka yang selama ini berpuak-puak. Apabila bangsa Arab sudah bersatu pada masa itu, barulah empayar Islam dikembang ke serata dunia. Kenapa bangsa Arab perlu bersatu dahulu? Kerana jika kita sudah mampu menyatukan ahli keluarga kita, barulah kita dapat menjalankan kesatuan dengan masyarakat lainnya.

Wallahualam.

2 ulasan:

Unknown berkata...

bernas ayat dan idea ko!!!

NA_SR berkata...

aku setuju.. =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...